1 Jun 2010
ARTIKEL UNTUK PENGGEMAR AYAM PASARAYA
Seorang peniaga dan empat anggota keluarganya hari ini memfailkan saman ganti rugi RM1.6 juta terhadap Tesco Stores (M) Sdn Bhd kerana didakwa cuai memastikan produk ayam segar yang siap diproses dan dilabelkan halal, benar-benar halal megikut agama Islam.
Saman itu difailkan oleh Raja Muzaffar Kamar Raja Busu, Lijah Awang Kechik, Raja Kamar Idris Raja Busu, Norhayati Abdullah dan Raja Teh Rahmah Raja Busu.
Writ saman itu difailkan oleh peguam Kamal Razali melalui firma guaman, Badruzzaman & Kamal, Peguambela & Peguamcara, Peguam Syariah di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di Pulau Pinang.
Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Muzaffar Kamar yang mewakili empat plaintif lain dari Bayan Baru, memohon ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teladan RM500,000 dan ganti rugi teruk RM100,000.
Beliau turut menuntut surat permohonan maaf secara terbuka oleh defendan kepada semua plaintif kerana mengalami trauma dan maruah plaintif tercalar kerana menjual ayam haram.
Raja Muzaffar Kamar berkata beliau mengalami trauma dan berasa berdosa kerana memakan ayam yang haram bersama plaintif lain dan memberi makan produk ayam yang haram kepada pelanggan di restoran miliknya di Astaka Gelugor, di Pulau Pinang.
Katanya pada 12 Mac lalu, beliau membeli tiga ekor ayam yang siap disembelih dan dipek dengan bungkusan berjenama HyFresh tertera logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Raja Muzaffar Kamar berkata beliau memasak ayam itu dan sebahagiannya dimakan bersama keluarganya manakala bakinya dijual di premis perniagaannya.
Beliau berkata ketika membuang sisa ayam itu mereka mendapati kesan sembelihan pada leher ayam berkenaan mencurigakan kehalalannya di sisi Islam dan membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
"Pada 16 Mac lepas, JHEAIPP kemudian membuat siasatan dan merampas ayam berjenama HyFresh di pasar raya itu kerana tidak disembelih mengikut kaedah ditetapkan Islam," katanya.
Katanya pada 31 Mac lalu, Jabatan Mufti Pulau Pinang mengeluarkan surat mengesahkan produk ayam berkenaan tidak disembelih mengikut ketetapan syariat Islam dan haram dimakan oleh orang Islam.
- Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan