9 Jun 2010
BUNGA KERTAS UNTUK IBU - part #1
Amir baru genap 8 tahun. Bermakna tahun ini amir masuk darjah 2. Saban hari amir ke sekolah menaiki van sekolah pak cik manap. Itulah pengangkutan harian amir kesekolah kerana ibunya tidak pernah ada masa untuk menghantarnya. Amir faham. Sangat faham. Ibu sibuk kerana amir. Untuk amir berumah, cukup makan dan ada tempat tinggal. Sampai sahaja ke sekolah. Amir terus mencari kelas. Bukan budaya amir berpeleseran mencari kawan-kawan. Tidak berpeleseran bukan kerana tidak suka bersuka-suka. Budak darjah 2 mana yang tahu erti barah sosial. Apa yang budak darjah 2 tahu adalah bergembira dalam dunia yang mereka cipta.
Tetapi amir tidak dapat berkongsi gembira bersama kawan. Amir terlalu mengenang ibu. Amir terlalu sayang ibu. Amir tidak pernah mahu lihat ibu muram. Amir berperwatakan suram pun kerana ibu.. Ibunya berstatus tunggal. dan itulah harta bernilai yang amir ada. Mana mungkin amir terdetik untuk membebankan ibunya. Setiap detik, wajah ibu terbayang dibenak.
Ibu berubah sangat ketara sejak berpisah dengan ayah. Ayah amir dan ibu telah bersefahaman untuk berpisah atas beberapa alasan yang tidak dapat dielakkan. Ibu amir tidak dapat untuk meneruskan hidup dengan bersuamikan ayah. Ayah seorang yang tidak pandai mengurus hidup malah seorang yang panas baran tahap kronik. Tapi amir tetap sayang ayah. Ayah tetap ayah. Darah ayah mengalir deras dalam diri amir.
Sampai ke kelas amir terus mengambil tempat duduk. Selang 5 minit. Cikgu Saripah selaku cikgu seni masuk membondong beberapa alatan perkakasan dicelah tangan kiri. Sebelah tangan kanannya dijinjing beg besarnya. Ahmad ketua kelas berlari mendapatkan cikgu saripah untuk membantu mengangkat barang. Bodek amatur. Cikgu saripah mula buka pencak. Pencak bicara. Cikgu saripah membebel. Memek muka mula main peranan. Berkerut-kerut. Itu trademark cikgu saripah. Penyampaian penuh perasaan. Bagi memastikan muridnya faham apa yang disampaikan. Tangannya bergerak-gerak merangka isyarat. Amir terdengar sekilas bahawa hari ini fokus kelas seni adalah membuat bunga. Bunga kertas. Membuat bunga kertas secara manual. Mungkin itulah yang cikgu saripah sedang aksikan. Mengajar membuat bunga kertas. Cikgu saripah terus leka mengajar. Tidak dihiraukan siapa yang tidak berminat. Tetapi sesiapa yang berminat akan menjadi murid kesayangannya. Politik cikgu sekolah rendah.
Pada mulanya amir kurang berminat. Tapi apabila melihat hasil bunga kertas cikgu saripah cantik. Amir tertarik. Amir mula mengeluarkan perkakasan yang berkenaan atas arahan cikgu saripah. Munip, Nanda & Samat terkeruk-keruk kepala bermuka tawar. Tanda tidak berminat. Mei Lin & Ahmad insan paling seronok. Mereka berdua ketagih kelas seni. Terkinja-kinja, Tersengih-sengih bila kelas seni beroperasi. Cikgu Saripah masih tidak menyuruh keluarkan perkakasan lagi. Tapi Mereka berdua pula sudah siap buat. Lesen mereka berdua besar. Lagipun Cikgu saripah sayang mereka berdua. Mereka jugalah Pembantu makmal seni cikgu saripah. Manakan cikgu saripah nak marah. Lagipun Mereka ketagih untuk menjadi pandai.
Senarai perkakasan telah seminggu lepas diberitahu Cikgu Saripah. Siapa tak bawa, dendanya berdiri atas kerusi. Amir tidak mahu berdiri atas kerusi. Kerana corak pemikiran amir ringkas. Jika didenda cikgu pasti tidak akan menggembirakan ibu. Jika ibu tidak gembira. Ibu akan terbeban. Amir sudah semat kemas dihati tidak akan pernah sesekali membebani ibu. Amir pun sebenarnya berminat kerana merasakan bunga kertas Cikgu Saripah hasilkan tadi sangat cantik. Cantik seperti ibunya. Bukan kerana muka ibunya seperti bunga. Tetapi wajah ibunya menawan seperti bunga. Amir teruja untuk membuat pun kerana teringat ibunya. Semua perkara dalam kitaran hidupnya sangat berkait rapat dengan ‘kerana ibunya’. Itulah amir. Seorang anak yang sangat menyayangi ibunya.
Berposak amir cuba mengikut prosedur seperti yang ditunjuk cikgu saripah. Ada beberapa bahagian yang amir tidak berapa faham. Amir terus tanyakan pada mei lin. Mei lin suka begitu. Mei lin suka ditanya. Mungkin kerana cita-citanya menjadi cikgu. Mungkin Mei Lin mengidam untuk mengganti Cikgu Saripah. Mei lin banyak membantu. Bukan sahaja menyiapkan. Tetapi menjadikan bunga kertas amir antara yang tercantik. Amir memang sudah berkira-kira untuk menghadiahkan kepada ibu. Sedangkan cikgu saripah meminta bunga kertas yang siap dihantar untuk dimarkahi.
Amir tergamam. Dia mahu bunga yang dibuat cantik olehnya itu untuk ibu. Dia perlu memikirkan segera. Bagaimana untuk mendapatkan markah sekaligus menghadiahkan pada ibu. Amir berkeputusan untuk membuat satu lagi bunga kertas. Maknanya amir akan mempunyai 2 bunga kertas. Satu untuk dimarkahi. satu untuk ibunya. Dengan bantuan mei lin. Amir membuat satu lagi bunga kertas dalam keaadaan tergesa-gesa. Comot-comot. Tidak berapa cantik tetapi cukup prosedur nampak dan sifat-sifat bunganya. Janji ia tidak memberi markah yang teruk. Amir terus menghantar bunga kertas yang dibuat tergesa-gesa yang dibantu mei lin tadi. Di hantar kepada cikgu saripah untuk diberi markah. Lega. Amir berjaya melakukannya. Bunga kertas amir yang cantik tadi disimpan kemas didalam kotak. Tidak sabar rasanya menunggu waktu untuk pulang. Tidak sabar rasanya untuk diberi pada ibu. Tidak sabar rasanya melihat ibu tersenyum..
Waktu balik sudah tiba. Amir berlari ke pesisir jalan. Dekat tebing sekolah. Tempat yang diberitahu pak cik manap pemandu van untuk menunggu. Pak cik manap sentiasa tepat masa sampainya. Mungkin cepat sedikit. Sebab masih tinggal beberapa rakan sesekolah lain yang belum sampai menunggu bersama. Rutin biasa. Menunggu manusia tidak berdisplin.
Pak cik manap harus memastikan semua orang cukup barulah boleh bergerak. Disebabkan teruja. Amir sudah mula terasa tidak senang duduk. Akhirnya. Semua murid-murid sudah memenuhi setiap ruang van sekolah. semua muka familiar sudah ada terselit-selit. Tersenyum amir kerana tahu dia akan sampai rumah sekejap lagi. Rasa meluap-luap mahu melihat kegembiraan ibu. Kegembiraan diberi bunga cantik rekaan khas darinya sendiri. Saat seorang anak merasakan nikmat hidupnya..
Bersambung…
BUNGA KERTAS UNTUK IBU - part #2
Labels:
PENULISANKU
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan